Apabila Bersendirian, Mereka Melakukannya
February 18, 2012 by admin
Filed under ISMA Jordan, Thaqafah
Satu kisah
Diceritakan dari kisah Abi Qasim Al-Junaid bahawa pada suatu hari, beliau ingin menguji sejauh manakah pelajarnya merasakan muraqabatullah SWT (pengawasan Allah) terhadap mereka .
Kata Abi Qasim: “Baiklah. Esok akan diadakan perjalanan ke padang pasir. Setiap daripada kamu dikehendaki untuk membawa bersamanya seekor ayam dan menyembelihnya di tempat yang tiada siapa pun yang melihat kamu. Seterusnya, kita akan memasaknya dan makan bersama-sama.”
Keesokan harinya, para pelajar itu datang dengan tugasan yang telah diselesaikan kecuali seorang. Pelajar itu datang dan bersamanya seekor ayam yang belum lagi disembelih.
Kata Abi Qasim: “Mengapa kamu tidak melaksanakan pesanku, wahai anakku?”
Pelajar itu pun menjawab: “Tugasan kami adalah menyembelih ayam ini di tempat yang tiada siapa pun yang melihat kami. Aku telah pun mencubanya. Tetapi, jika aku masuk ke dalam rumah, maka, aku dapati yang Satu ini ada bersamaku. Apabila aku naik ke atas bumbung, yang Satu ini ada bersamaku. Sekalipun apabila aku masuk ke dalam hutan belantara, aku dapati Dia sentiasa bersamaku.”
Maka, Abi Qasim pun bertanya lagi: “Siapakah yang Satu yang engkau maksudkan itu?”
Anak itu menjawab dengan penuh keyakinan: “ALLAH.”
Maka, dirangkulnya pelajar itu dan berkata: “Engkau adalah anakku yang sebenar.”
Terasa diawasi dan ihsan
Itulah dari apa yang dinamakan muraqabatullah (sentiasa merasai pengawasan Allah ). Dan sejajar dengan itu, perasaan ini sesuai dengan maksud Ihsan seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah yang maksudnya iaitu:
“Beribadahlah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka, sesungguhnya Dia melihat kamu.”
Muraqabatullah adalah merasakan pengawasan Allah di setiap tempat, waktu dan keadaan dengan keyakinan bahawa Allah mengetahui segala perbuatan yang zahir dan tersembunyi, yang bertepatan dengan sifat-Nya ar-Raqiib (Maha Mengawasi). Sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan agar tidak membuat dosa walaupun dosa yang kecil kerana dia benar-benar yakin bahawa setiap perbuatan manusia yang besar mahupun yang kecil akan dihitung dan dibentangkan oleh Allah pada hari akhirat kelak, tanpa ada yang terkecuali.
“Dan diletakkanlah kitab (catatan amal), lalu engkau akan melihat orang yang berdosa merasa ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Betapa celaka kami! Kitab apakah ini? Tidak ada yang tertinggal, yang kecil dan yang besar melainkan tercatat kesemuanya,” dan mereka mendapati (semua) apa yang telah mereka kerjakan (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menzalimi walaupun seorang.” (Surah Al-Kahfi: 49)
Setiap Muslim wajib menanamkan keyakinan ini di dalam diri, supaya tidak tergolong dalam kalangan manusia yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis baginda:
“Ingin ku khabarkan kepada kamu tentang satu kaum dari umatku. Mereka datang pada hari kiamat kelak dengan kebaikan (yang jumlahnya) seumpama gunung Tihamah yang memutih. Kemudian, Allah menjadikan ia umpama debu-debu yang berterbangan. Bahkan, mereka adalah saudara kamu, dalam kalangan kamu dan mereka mengambil bahagian (untuk beribadat) pada waktu malam juga sepertimana kamu. Akan tetapi, apabila mereka bersendirian dalam menghadapi perkara yang diharamkan oleh Allah, mereka melanggarnya (melakukanya).“ (Riwayat ibn Majah)
Bina rasa diawasi
Apakah langkah-langkah untuk mengekalkan rasa muraqabatullah?
- Sentiasa memperbaharui niat. Kerana sebesar mana sekalipun amalan itu, jika tidak diniatkan kerana Allah, sia-sialah ia ibarat debu-debu yang berterbangan. Oleh kerana itu, memperbaharui niat akan membantu kita untuk tidak melakukan perkara yang diharamkan walaupun bersendirian.
- Tekun dan sabar dalam melakukan ketaatan seperti solat fardhu, puasa, qiamullail, membaca Al-Quran, beristighfar, muhasabah diri dan lain-lain. Biarpun amalan itu sedikit, asalkan ia berterusan dalam menjaga naik turun kualiti amalannya dari menjadi lebih merosot dan merudum ke tahap yang lebih teruk, bakal menguatkan kekukuhan amalan itu di dalam dirinya dari melakukan amalan yang banyak tetapi hanya seketika amalannya.
- Melazimi hidup berjemaah dan tidak menyisihkan diri darinya. Kerana berjemaah itu adalah kunci untuk menutup ruang-ruang godaan syaitan. Jika tidak, syaitan akan sentiasa mencari peluang ketika mereka berseorangan dengan menggoda, mewas-waskan, dan menghias segala amalan buruk mereka sehinggakan anak Adam itu tunduk pada hawa nafsunya.“Janganlah kamu berpecah, dan hendaklah kamu berjemaah. Sesungguhnya syaitan bersama dengan yang berseorangan, dan akan lebih jauh apabila berdua.”
- Koreksi diri. Andai tersungkur ke lembah dosa, akan lekaslah dia untuk kembali bangkit, menyesal, bertaubat, dan kembali kepada Allah yang Maha Mengawasi tanpa bertangguh dengan mencari ruang melepaskan diri untuk bersenang-lenang menikmati kenikmatan dunia yang sementara dan lalai mencari bekal keampunan untuk ke akhirat.
Yakin dan bermula
Sewajarnya untuk seorang Muslim meyakini bahawa Allah itu Ar-Raqiib (Maha Mengawasi). Andai seorang pekerja diperhatikan oleh majikannya, pasti dia melaksanakan tugasnya dengan penuh teliti dan berhati-hati supaya tiada kesalahan yang akan membuatkan dia dipecat. Bagaimana pula dengan Yang Maha Mengawasi, Maha Mencipta, Maha Mengetahui segala yang zahir dan batin, serta yang telah menuliskan suratan hidup kita di Lauh Mahfuz-Nya? Berhati-hatikah kita di sepanjang pemerhatian-Nya? Atau lupakah kita pada hari perhitungan yang tiada diselindungkan lagi amalan-amalan buruk kita?
Teruslah persoalan itu akan berlegar di benak seorang manusia. Akan tetapi, apa pula penanda arasnya kalau kita tidak memulakan langkah untuk menjaga pengawasan diri ketika mana pengawasan dari Allah adalah tidak pernah terhenti walaupun sesaat? Ayuh bermula seiring dengan hati yang kemahuannya adalah bebas dari penjara keduniaan dalam membekali diri dengan amal yang bakal mendapat redha-Nya.
الله يرتقبني…. الله ناظر الي ….الله يحاسبني
Allah mengawasiku.. Allah memerhatikanku.. Allah menghisabku..
Sumber : www.ismamesir.com











