Home » ISMA Jordan » Akhawat Selekeh?

Akhawat Selekeh?

 

 

Marah. Terguris. Sakit hati. Benci.

Barangkali itu adalah perasaan para akhawat apabila melihat tajuk artikel. Ketahuilah wahai kalian, penulis juga  adalah seorang akhawat.

Artikel ini ditujukan kepada akhawat terutamanya kerana akhawat lebih sinonim dengan kepentingan untuk kelihatan cantik dan kemas tanpa menafikan kepentingan kaum Adam untuk menitik berat penampilan mereka juga.

 

Selekeh, bukan sifat seorang Muslimah

“Orang kata, kebanyakan orang yang bawa dakwah ni selekeh.” Berdesing telinga apabila terdengar perbualan ini. Bukan marah dengan si penutur, tapi menarik semula penulis ke bumi realiti.  Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.

Bila kita kata kita cintakan Nabi Muhammad SAW, tentulah setiap perkara yang Baginda lakukan akan kita cuba ikuti. Dari sebesar-besar perkara hinggalah kepada sekecil-kecil perkara. Kenapa jika kita boleh mengikuti Baginda dalam perkara yang besar seperti dakwah, politik dan muamalat tetapi perkara kecil menjadi suatu perkara yang amat sukar untuk kita ikuti?

Sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Jabir bin Samurah telah meriwayatkan bahawa :

Aku melihat Pesuruh Allah pada suatu malam disinari cahaya bulan. Aku membandingkan Pesuruh Allah dengan bulan tersebut dan ketika itu Baginda memakai jubah bewarna merah. Padaku, Baginda tampak lebih cantik dari bulan tersebut.”

Subhanallah.

Nabi Muhammad SAW sangat mementingkan penampilan. Baginda mempunyai jubah cantik yang hanya akan dipakai ketika perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Selain itu, Baginda juga mempunyai jubah khusus yang hanya akan digunakan apabila menerima kunjungan diplomatik. Baginda juga amat menitikberatkan bau dan amat menyukai minyak wangi. Jika Baginda mengambil serius dalam perkara ini, kenapa tidak kita?

Jika dengan menggunakan akal yang waras sekalipun, jika datang seorang kenalan kepada anda, yang pada pemerhatian anda selama ini dia bukanlah seorang yang menjaga kebersihan rumah. Kemudian, datang seorang lagi kenalan, yang pada pemerhatian anda sangat mengambil berat tentang kebersihan dan susun atur rumahnya. Kedua-duanya bercerita tentang isu rakyat Palestin. Pada hemah anda, anda lebih berminat untuk mendengar daripada siapa?

Tepuk dada, tanya iman yang menggebu di dada.

 

Kemas itu bukan tabarruj

Sesetengah daripada kita, mungkin tersalah anggap dalam memahami konsep tabarruj sehingga terperangkap. Kemas itu bukan tabarruj. Tabarruj dalam erti kata mudah ialah berlebih-lebihan dalam berpakaian.

Bukan pakaian dari Gucci, Luis Vuitton dan Prada yang akan menjamin kekemasan dalam berpakaian. Tidak perlu semua itu. Bahkan Allah sendiri mencela orang yang suka membazir. Pakailah pakaian yang murah sekalipun tapi pastikan pakaian itu nampak bersih, sedap mata memandang, dan sudah tentu menutup aurat.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menegur sahabat yang memakai baju yang kotor. Dalam peristiwa yang lain pula, Nabi Muhammad SAW menegur sahabat yang tidak menyisir rambut. Tidak dapat disangkal lagi, Baginda sangat menggalakkan umatnya untuk kelihatan bersih dan kemas.

Mengikut kajian pula, pandangan pertama atau ‘first impression’  mewakili 70% pandangan orang terhadap zahir kita. Bagaimana kita mahu mengajak orang berbuat baik jika ‘first impression’ sudah gagal?

 

Panduan memilih pakaian

3 tips untuk para akhawat sekalian sebagai panduan dalam berpakaian.

1)      Menutup aurat

2)      Selesa

3)      Kemas dan bersih

 

Panduan ini disusun mengikut prioriti. Sebagai contoh, dalam apa jua keadaan para akhawat perlu pastikan  menutup aurat itu menjadi perkara tunjang dalam memilih pakaian. Jangan gadaikan prinsip menutup aurat demi keselesaan dan kekemasan.

Seterusnya, pakailah pakaian yang selesa. Contoh mudah, kasut tumit tinggi. Tanyalah mana-mana wanita di atas muka bumi ini, mereka pasti akan menjawab kasut tumit itu menyeksakan walaupun tampak cantik pada pandangan zahir.

 

Dan akhir sekali, pilihlah pakaian yang kemas dan bersih. Apabila kita menjaga kekemasan dan kebersihan, orang sekeliling akan lebih senang untuk mendampingi kita. Tambahan pula, berpakaian kemas akan menampakkan kita lebih cantik dan berseri.  Tidak salah untuk kelihatan cantik kerana Nabi Muhammad SAW sentiasa menggalakkan umatnya untuk mempunyai akhlak yang baik, penampilan yang cantik, pakaian yang bersih dan bau yang menyenangkan. Sabda Baginda juga

Allah itu cantik dan sukakan kecantikan” – (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi awas, jangan terlalu ingin nampak cantik sehingga mengakibatkan kita terjatuh dalam lembah tabarruj. Berpada-padalah dalam berhias. Jadikan 3 tips mudah ini sebagai sinergisme dalam memilih pakaian.

Akhir kalam, semoga kata-kata ini menjadi panduan buat akhawat terutamanya penulis ini sendiri. Semoga amal selari dengan kalam.

 

Sumber rujukan : Buku ‘Enjoy Your Life’ karangan Dr. Muhammad ‘Abd Al-Rahman al-‘Arifi

Disediakan oleh :
Nurul Fauwiza Mohd Fauzi
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology 

Comments

comments

scroll to top