Home » ISMA Jordan » Aroma dapur mengharum di syurga

Aroma dapur mengharum di syurga

Wanita dan dapur. Orang kata itu memang sinonim. Kalau sebut dapur, automatik jugalah kita terfikir wanita.

“Orang perempuan ni, belajar tinggi-tinggi pon akhirnya ke dapur juga.”

Ayat ini biasa kita dengar bukan?  Bagaikan sumpahan, kadangkala ada juga benarnya. Namun begitu, kita buktikan bahawa dapur bukanlah tempat terceruk untuk seorang wanita menghabiskan masanya dengan sia-sia.

Resepi terbaik.

Resepi terbaik bukanlah datang dari chef-chef terkemuka ataupun blog-blog resepi yang ramai pengikutnya. Resepi terbaik adalah apabila setiap masakan itu dimasak dengan penuh kasih sayang. Sewaktu awal-awal saya belajar memasak dahulu, ibu seringkali berpesan, setiap kali memasak jangan pernah ada rasa tidak senang dengan orang yang kita hendak berikan makanan itu. Jika tidak, rasanya akan berubah dan yang memakannya juga tidak akan merasakan keenakan makanan yang kita berikan. Buktinya, pernahkah  kita merasakan masakan ibu kita tidak sedap? Pasti tidak kerana seorang ibu itu tidak mungkin pernah memasak tanpa rasa kasih sayang terhadap suami dan anak-anaknya.

Masakan apa pula yang aromanya mampu sampai ke syurga?

Masaklah apa sahaja. Walaupun hanya sekadar menggoreng ikan bilis, siapa tahu aromanya mampu mengharum di syurga nanti. Ingat kembali untuk siapa kebiasaannya kita memasak? Sudah tentu untuk sahabat-sahabat kita sendiri. Teman-teman serumah khususnya. Sungguh beruntung kita, kerana masakan yang kita masak itu dimakan oleh orang-orang yang berjihad di jalan Allah. Moga setiap suapannya itu, ada doa-doa yang mengiringi. Dengan itu, yang makan mendapat pahala, yang memasak juga insya-Allah mendapat tiket ke syurga.

Masaklah dengan rasa cinta. Dari dapur juga kita mampu ke syurga. Asalkan dalam hati ikhlas niat untuk-Nya. Perlu diingat lagi, bahawa sesungguhnya ada dua golongan yang berpenat-lelah di dunia ini. Pertama berpenat-lelah dengan kerja-kerja untuk ke syurga dan yang kedua berpenat-lelah yang hasil usahanya hanya menempah neraka pada akhirnya. Moga kita semua tergolong dalam golongan yang pertama yang hanya berpenat-lelah demi al-jannah.

Hebatnya tangan seorang wanita bukan hanya sekadar mampu menggoncang dunia, tetapi air tangannya juga sangat bermakna kerana setiap masakannya mampu mengharum di syurga sana. InsyaAllah.

Oleh :
Fatin Hamidah Binti Mustafa
Tahun Dua Perubatan
Jordan University of Science and Technology

scroll to top