Home » Akademik » Ayuh, Mumtaz untuk Ummah!

Ayuh, Mumtaz untuk Ummah!

Ayuh, Mumtaz untuk Ummah!

“Ramai umat Islam sekarang menderita kerana kebanyakan kita tidak mempunyai matlamat yang tinggi”.

Kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Hasan Ali dalam dalam program Youth Tarbiyyah Conference yang diadakan di London baru-baru ini memberi peringatan kepada semua umat Islam agar mempunyai matlamat yang jelas dalam apa juga perkara.

Musim peperiksaan akhir kian menjelang bagi mahasiswa-mahasiswi di seluruh Jordan bagi menamatkan semester dua sesi ini. Mungkin peringatan Sheikh Hasan Ali itu cukup untuk mengajar semua mahasiswa di Jordan tentang pentingnya mempunyai target yang tinggi dalam menduduki sesuatu peperiksaan.

Menurut pensyarah dari University of London itu lagi, dalam menduduki peperiksaan, perkara yang paling utama adalah mempunyai niat yang ikhlas. Mahasiswa yang mahu cemerlang kerana mahukan populariti akan dapat apa yang diinginkannya. Jika seseorang mahu cemerlang kerana mahu kerja yang baik, dia juga akan memperolehinya dengan izin Allah. Namun, sudah tentu niat yang ikhlas bagi mengharapkan keredhaan Allah adalah yang perlu wujud dalam setiap hati mahasiswa muslim.

Dalam program itu juga, Shaykh Hasan Ali turut mengajar kita tiga peringkat utama dalam menuntut ilmu yang merupakan asas kunci kecemerlangan.

  1. Muthala’ah, iaitu membuat persediaan awal yang ringkas sebelum mendengar syarahan dari pensyarah.
  2. Mudarasah, iaitu memberi sepenuh perhatian sepanjang pembelajaran yang disampaikan oleh pensyarah.
  3. Muraja’ah, iaitu mengulangkaji pembelajaran yang telah dipelajari.

Tony Buzan, seorang perunding pendidikan terkenal dalam bukunya, ‘Use Your Head’, turut menggariskan dua fakta berkaitan memori manusia.

  1. Pengulangan dalam pembelajaran yang kerap akan mempercepatkan proses perpindahan memori jangka pendek kepada memori jangka panjang.
  2. Ilmu yang tidak diulang dalam jangka masa yang lama mampu menjejaskan memori jangka panjang manusia.

Pengamalan sentiasa mengulangkaji pembelajaran dengan kerap mampu menguatkan daya memori. Malah kaedah yang terbaik dan mudah untuk diamalkan adalah mengamalkan ‘bitesize rivision’. Apa yang dimaksudkan dengan kaedah ini adalah sering mengulang dan membayangkan serta membuat kaitan dalam perkara yang dipelajari dalam setiap amalan harian seperti berjalan ke jamiah, ketika makan dan sebelum tidur. Dengan kata lain, kaedah paling berkesan dalam setiap pembelajaran adalah studi dari awal dan berterusan.

Tony Buzan turut menyatakan bahawa purata masa optimum bagi manusia untuk mampu fokus ialah 45 minit. Fakta ini menyarankan kita supaya perlu ada rehat dalam proses belajar. Seeloknya isi masa selang 45 minit itu dengan zikir dan bacaan al-Quran bagi menyegarkan semula fikiran.

Mahasiswa yang cemerlang akan menggunakan masanya dengan optimum, dan kurangkan melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Dalam pembelajaran, perlu ada strategi yang baik terutamanya menentukan keutamaan, iaitu mengutamakan pelajaran yang masih kurang atau belum dikuasai. Namun perkara yang paling penting adalah timbulkan perasaan seronok dan minat ketika belajar.

Dalam masa yang sama, Imam Syafie menggariskan kunci utama untuk berjaya adalah dengan meninggalkan maksiat. Perbuatan dosa yang dilakukan akan menggelapkan hati seterusnya menyukarkan proses penghadaman ilmu yang dipelajari. Antara kata-kata Imam Syafie yang terkenal, “Ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak menerangi pembuat maksiat.”

Walau bagaimapun, seorang Muslim yang beriman perlu meyakini bahawa sebanyak mana pun usaha yang dilakukan, kejayaan tidak akan diperolehi tanpa keizinan dan kurniaan dari Allah yang satu. Jadi perlu ada kepercayaan yang tinggi kepada Allah, pertingkatkan amalan berdoa dan perbanyakkan solat hajat. Jika mahu dibukakan hati, mintalah pada Al-Fattah. Jika mahu mengingati ilmu yang dipelajari, mintalah kepada Al-Hafiz.

Sebelum dan sepanjang peperiksaan dijalankan, perbanyakkan doa penerang hati dan selawat, semoga dengan doa dan selawat yang dibaca dapat memberi petunjuk kepada kecemerlangan…

WAHAI PEMUDA PEMUDI HARAPAN ISLAM! AYUH,  MUMTAZ UNTUK UMMAH!!

Oleh :
Mohamad Rusydi bin Ahmad Zuhairi
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology (JUST)

Comments

comments

scroll to top