Home » ISMA Jordan » Di Sebalik Jururawat Itu

Di Sebalik Jururawat Itu

Mungkin ramai yang masih tidak mengenali atau tidak pernah sama sekali mendengar nama ini.

Srikandi ini banyak menyumbang jasa baktinya di zaman Rasullah S.A.W.  Kepakaran beliau dalam bidang kejururawatan yang diwarisi daripada ayahnya memang tidak boleh disangkal. Beliau banyak menyertai peperangan dimana  tugasnya adalah sebagai jururawat dalam peperangan tersebut.  Hinggakan sumbangannya itu, Rasullah mengurniakan harta rampasan ghanimah sama seperti parajurit yang lain.

Dilahirkan di Yathrib, Madinah, Rufaidah Binti Sa’ad merupakan seorang jururawat pertama dalam dunia Islam dan perubatan. Ramai yang menyangka bahawa Florence Nightingle merupakan jururawat pertama dalam dunia perubatan. Namun demikian, Rufaidah Binti Sa’ad terlebih dahulu mempamerkan kemahiran dan kesungguhannya dalam bidang ini. Buktinya, beliau melibatkan diri dalam peperangan seperti Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar. Kebanyakan tentera Islam yang cedera dan luka dalam peperangan tersebut, Rasullah S.A.W sendiri meminta Rufaidah untuk merawat sehingga sembuh.

Dalam perang Khandaq, Rufaidah menyerlahkan kepakarannya dalam bidang ini dengan merawat panglima Sa’ad bin Mu’adz yang tercedera. Rufaidah sendiri yang mencabut anak panah yang terkena pada lengan panglima tentera tersebut. Manakala, ketika Islam mula meluaskan empayarnya di Madinah, Rufaidah tidak ketinggalan untuk memberi sumbangan. Beliau sanggup mengabdikan dirinya untuk membantu dalam memberi rawatan kepada umat Islam di Madinah dengan membina khemah-khemah perubatan di luar Masjid Nabawi.

Dengan memiliki kemahiran dan kepakaran yang sangat hebat dalam bidang kejururwatan, mana mungkin Rufaidah tidak memiliki sifat-sifat peribadi yang unggul dalam pandangan sejarah Islam. Beliau dikatakan sangat prihatin dengan masalah masyarakat dan sanggup turun padang demi menyelesaikan masalah tersebut. Beliau bukan sahaja merawat pesakit malahan beliau banyak membantu pesakit dari sudut kebajikan dan tanggungjawab sosial. Antara sifat yang sangat dikagumi , beliau merupakan seorang pengurus dan ketua yang sangat berdedikasi yang mampu menggerakkan pasukannya untuk menghasilkan tugas yang terbaik. Beliau juga berkongsi ilmu dengan jururawat-jururawat yang bekerja bersama-sama dengannya  seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Aiman, Safiyah, Ummu Sulaim dan Hind.

Sempena dengan Hari Jururawat sedunia yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun, Rufaidah Binti Sa’ad  adalah tokoh sahabiah yang selayaknya diraikan, bukan Florence Nightingale yang selalu digembar-gemburkan  - oleh media Barat – sebagai perintis ilmu kejururawatan. Sumbangan yang tidak terkira penat lelahnya, dihulurkan untuk kesejahteraan umat Islam ketika itu. Walaupun hanya dengan merawat tentera Islam dalam peperangan, tetapi sumbangan itu amat bermakna sekali untuk pembinaan tamadun. Oleh itu, mari kita sama-sama fikirkan, apakah sumbangan daripada tulang empat kerat kita untuk pembinaan tamadun Islam yang gemilang?

 

Oleh:
Ummu Aiman binti Hasbullah 

Tahun 2 Bahasa Arab dan Kesusasteraan 
Universiti Ali Al-Bayt, Mafraq

 

Comments

comments

scroll to top