Home » ISMA Jordan » Istighfarlah Demi Ummah

Istighfarlah Demi Ummah

Renungan bersama

Merenung dan mengamati umat Islam pada zaman ini membuatkan kita termenung panjang. Sebahagian umat Islam di negara yang ditindas keadaannya sangat sedih dan mengerikan. Ramai yang terbunuh, diseksa, dinoda dan banyak lagi. Lebih menyedihkan apabila kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa diseksa dan dibunuh oleh kuffar laknatullah dengan pelbagai cara yang jauh sekali diimbangi dengan sifat kemanusiaan. Namun mereka ini lebih kuat berusaha, berjuang bermati-matian demi menyelamatkan aqidah dan negara mereka yang tercinta. Melihat pula umat Islam yang berada di negara yang aman tanpa sebarang peperangan, terlalu ramai yang hanyut dengan arus barat. Leka seakan-akan tidak punya saudara sesama Islam yang sedang menangis, mengorbankan segala keringat dan darah di negara yang tertindas.

Bagaikan monyet yang bergayut di atas pokok. Apabila ditiup angin yang kencang maka dia berpaut kuat tetapi lemah dan jatuh apabila disamping bayu. Realiti umat Islam kini jauh daripada pimpinan Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan yang leka terus dalam keadaan lalai manakala golongan yang sedar berkelahi sesama mereka kerana tidak boleh menerima metod dan cara memperbaiki ummah.

Wahai golongan yang lalai tidakkah anda sedar bahawa anda sedang berada di tebing gaung yang bawahnya penuh dengan dosa dan azab neraka? Wahai golongan yang sedar dan bercita-cita untuk membawa panji Islam berada dalam keadaan dosa kerana lebih suka berkelahi, berhasad, berdebat mencari kesalahan pihak yang lain dan membiarkan umat islam dalam keadaan sengsara dan parah?

Ayuhlah semua kita menyucikan diri. Allah s.w.t berfirman dalam surah As-Shams ayat 9-10 yang bermaksud :

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Marilah kita mulakan segala langkah kita dengan memohon ampun daripada Allah di atas dosa dan kelalaian kita selama ini.Kita sucikan kembali hati-hati kita yang pada asalnya Allah ciptakan suci dalam keadaan fitrah. Kita pastikan segala metod memperbaiki ummah melalui hati yang suci bersih tanpa ada hasad dan dengki.

Temani setiap waktu kita dengan istighfar kepada Allah s.w.t. Sedangkan Nabi SAW yang terpelihara daripada dosa sentiasa beristighfar kepada Allah, memohon ampunan dosa. Kita jauh sekali sangat perlu untuk menyucikan diri kita dengan sentiasa beristighfar.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Maidah ayat 39 yang bermaksud :

“Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Istighfar

Istighfar ialah memohon ampunan daripada Allah s.w.t. Manakala ampunan pula ialah suatu pencegahan daripada kejahatan dosa. Allah s.w.t akan menutup dan menyembunyikan dosa yang telah dilakukan di dunia dan akhirat.

Istighfar merupakan satu perkara yang sangat disukai Allah s.w.t malah menjadi amalan para anbiya’ sejak turun temurun. Contohnya kisah Nabi Yunus a.s yang dirakamkan dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t :

ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين

“Wahai tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”

Faedah Istighfar

Perkara yang mudah untuk dilafazkan malah Allah s.w.t menyediakan ganjaran kepada pengamalnya. Antaranya Allah s.w.t akan mengampunkan dan menghapuskan dosa. Firman Allah s.w.t :

ومن يعمل سوءً أو يظلم نفسه ثم يستغفر الله يجد الله غفوراً رحيماً

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Suatu hadis sohih telah diriwayatkan :

من لــزم الاستغفار جــعل الله لـه من كل هم فـرجا، ومن كل ضيق مخرجا، ورزقه من حيث لا يحتسب

“Sesiapa yang melazimi istighfar maka Allah akan menjadikan segala kesusahan bertukar mudah, dan segala kesempitan ada jalan keluarnya dan mengurniakan rezeki daripada punca yang tidak disangka-sangka.”

Perkara yang patut kita ingat dan sekali-kali tidak boleh kita abaikan ialah istighfar ini juga adalah salah satu sebab diterima atau tertolaknya doa kita. Sesungguhnya Allah s.w.t adalah zat yang suci dan hanya menerima daripada diri dan hati hambanya yang suci.

Kisah menarik

Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal bermusafir dan singgah di masjid untuk solat dan berehat. Imam Ahmad tidak pernah sampai ke tempat tersebut dan masyarakat di situ juga tidak kenal akan susuk tubuh Imam Ahmad.

Ketika Imam Ahmad ingin baring berehat tiba-tiba dia dihalang oleh penjaga masjid untuk berehat di masjid tersebut. Walaupun Imam Ahmad memberikan segala hujah tentang kebaikan i’tikaf di masjid tetapi penjaga masjid masih tetap dengan pendiriannya sehingga akhirnya penjaga masjid tersebut mengheret keluar Imam Ahmad.

Kejadian tersebut disaksikan oleh seorang pemuda yang kebetulan lalu di hadapan masjid. Pemuda tersebut bertanya apakah yang berlaku? Maka Imam Ahmad menceritakan bahawa dia ingin tidur tetapi tidak tahu tempat lain selain masjid. Penjaga masjid pula bermati-matian menghalang Imam Ahmad untuk tidur di dalam masjid. Kemudian pemuda tersebut menawarkan rumahnya untuk menjadi tempat persinggahan Imam Ahmad.

Pemuda tersebut rupanya adalah seorang pembuat roti. Dia bekerja di dalam rumahnya sahaja. Imam Ahmad melihat pemuda ini sentiasa beristighfar ketika dia bekerja. Imam Ahmad yang sejak mula memerhati pemuda ini mendekati pemuda tersebut dan bertanyakan soalan.

“Adakah kau melihat apa-apa kesan daripada tasbih dan istighfar kau?” tanya Imam Ahmad.

“Ya, ada. Setiap kali aku berdoa kepada Allah apa-apa permintaan, semua permintaanku Allah perkenankan kecuali satu sahaja permintaan.” Ujar pemuda itu.

Maka Imam Ahmad bertanya apakah doa tersebut dan pemuda itu menjawab dia ingin berjumpa Imam Ahmad bin Hanbal.

Imam Ahmad berkata, “Sungguh aku ialah Imam Ahmad bin Hanbal, telah ditakdirkan ke sini dan bertemu dengan anda. Sesungguhnya Allah telah memakbulkan segala doamu wahai pemuda.”

Istighfarlah demi ummah

Keadaan ummah yang kucar-kacir sekarang ini memerlukan pemuda-pemuda yang suci. Pemuda yang sentiasa memohon ampun daripada Allah s.w.t adalah salah satu kunci kemenangan Islam di muka bumi ini. Wahai pemuda, beristighfar dan pohonlah ampun daripada Allah kemudian acukan segala usahamu menuju kemenangan Islam yang telah dijanjikan!

Disediakan oleh :
Mohamad Ali bin Mohamad Zaki
Setiausaha
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan

scroll to top