Home » Aktiviti » Laporan Spring Retreat 2012

Laporan Spring Retreat 2012

Pemuda Hebat, Hebat Pada Musim Cutinya !

Pada cuti sem bulan Jun 2012 yang lalu, ISMA Jordan telah menyajikan satu program buat akhawat yang berada di Jordan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dan menambahkan semangat jundi dan ruhi mereka.

 

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi  sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar..” (At-Taubah : 71)

 

Ayat suci al-Quranul Karim di atas menuntut kewajipan yang sama antara lelaki dan perempuan yang jelas menerangkan tuntutan wanita sama seperti lelaki dalam kewajiban berdakwah kepada Allah dan melaksanakan amar ma`ruf nahi mungkar.

Maka, tepatlah dengan objektif Spring Retreat 2012 untuk melahirkan akhawat yang mampu melahirkan suasana rumah tangga dakwah, menggilap potensi dan ‘skill’ keakhawatan dan merapatkan ukhuwah di antara akhawat ISMA Jordan.

 

Seramai 35 orang akhawat dari Irbid, Mu’tah dan Mafraq telah mendaftarkan diri pada pukul 8.00 pagi di Bayt Etihad. Selepas itu,  para peserta mendengar sedikit taklimat dari pihak urusetia. Program ini telah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik yang julung-julung kali diadakan. Antaranya, sesi Book Review yang telah dibentangkan oleh para peserta, perkongsian Talk Fiqh yang disampaikan oleh Ukhti Nabilah Huda binti Zaim, di samping Talk Medic yang diberikan oleh Ukhti Hamizah binti Abdul Rahman, sesi Cerekarama dan bermacam-macam lagi.

Pada hari pertama, kami bertolak ke Maksuroh pada waktu petang untuk melihat pemandangan Tasik Galilee dan Bukit Golan yang memberi signifikan tersendiri tentang kisah kekejaman Israel kepada bumi al-Quds . Sebelum ke destinasi tersebut, para peserta telah diberi tugasan untuk mengambil gambar dan berkongsi sejarah tentang kawasan tersebut di Facebook masing-masing. Kami juga sempat singgah di Masjid Muaz bin Jabal untuk menunaikan solat Asar dan menziarahi makam Muaz bin Jabal dan anaknya Abdul Rahman bin Muaz.

Hari kedua diserikan lagi dengan sesi ‘Jumpstart Author’ dalam bentuk forum yang dikendalikan oleh panelis-panelis khas, Nadhirah binti Sahri, Nur Hidayah binti Adzman dan Nurul Fauwiza binti Mohd. Fauzi. Moderator forum, Siti Zafirah binti Mat Nawi telah menyediakan empat sesi yang menarik untuk para peserta bagi memupuk minat dalam bidang penulisan. Di akhir sesi, semua peserta diberi tugasan untuk menulis sebuah artikel yang bakal dimuatkan dalam laman web ISMA Jordan .

Apa yang menarik kali ini, terdapat juga aktiviti yang boleh menajamkan ‘skill’ keakhawatan dan semangat kerjasama berpasukan dalam ‘Pertandingan Menghias Cupcake’ dan ‘Fear Factor’. Sepanjang aktiviti berlangsung, mereka diberi tugasan untuk menyiang ayam, mengait, mencari resepi makanan Arab, melukis, dan membuat origami. Program ini diakhiri dengan majlis penutup dan aktiviti gotong- royong bersama-sama.

Alhamdulillah, secara keseluruhannya program berjalan dengan lancar. Respon daripada para peserta kebanyakannya sangat positif dan begitu memberangsangkan. Harapan besar daripada kami, agar program seperti ini diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. Wallahua’alam, seeru ‘ala barakatillah.

 

 

Disediakan oleh:
Nur Sakinah Mohd Tarmizi

Setiausaha Spring Retreat 2012

scroll to top