Home » ISMA Jordan » Perutusan Pengerusi Sempena Maal Hijrah 1433

Perutusan Pengerusi Sempena Maal Hijrah 1433

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Helaian cebisan kenangan 1432 H sudah menjadi lipatan sejarah. Kini, 1433 H tiba dengan kisah baru yang penuh mencabar. Moga segala amalan kita ditahun lalu diterima oleh Allah dan diganjari dengan sebaik-baik balasan, disamping kita bermuhasabah dengan setiap kekurangan pada amalan dan tindakan kita. Saban tahun, ungkapan “Al-Hijrah” pasti mengingatkan kita kepada  sirah  yang paling agung dalam lembaran Islam. Namun, sejauh mana pengertian Hijrah, dan segala pengajaran serta manfaat daripada peristiwa tersebut menyerap sebati dalam diri kita? Adakah ungkapan keazaman hanya menjadi adat dan retorik di awal tahun sahaja?

Ayuh kita teliti sejenak, beberapa pengajaran yang boleh kita peroleh daripada peristiwa Hijrah yang boleh dijadikan bekalan untuk kita menempuh perjalan kehidupan kita selama setahun ini.

1) Keikhlasan. Peristiwa Hijrah mengingatkan kita tentang kepentingan keikhlasan dalam melaksanakan setiap pekerjaan dalam kehidupan kita. Hanya semata-mata mengharap keredhaan Allah.

“Sesungguhnya setiap amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan Rasulnya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kita dapat saksikan objektif penghijrahan Rasulullah dan para sahabat cukup jelas. Mereka sanggup meninggalkan keluarga,anak-anak,harta-harta dan kesenangan mereka di belakang demi mengejar satu cita-cita yang lebih besar untuk Islam. Mereka membebaskan diri mereka daripada keterikatan kepada nilai kebendaan dan materialistik yang bersifat sementara demi mengejar ganjaran Ilahi. Mereka mendahulukan urusan akidah daripada segalanya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik ”

(At-Taubah, 24)

2) Pengorbanan dan perjuangan. Telitilah perjuangan kaum Muhajirin sebelum Hijrah, mereka tergolong dalam golongan yang hebat diuji agamanya, disiksa dan dicengkam Musyrikin Quraisy. Hanya untuk mempertahankan Islam. Mereka kemudiannya berhijrah, membuat satu pengorbanan yang sangat besar, meninggalkan kampung halaman mereka buat sementara untuk membangunkan tapak kepada sebuah ketamadunan Islam sebagai satu strategi untuk meluaskan dakwah Islam. Dan,jangan pula kita menafikan pengorbanan kaum Ansar, yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk membantu dan meringankan bebanan sahabat kaum Muhajirin.

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”

3) Ukhuwwah. Peristiwa hijrah juga menunjukkan kepada kita tentang kepentingan nilai persaudaraan dan ukhuwwah sehinggakan menjangkau batas kekeluargaan. Melihat akan kepentingan ini,antara perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, ialah mempersaudarakan kaum muhajirin dan ansar. Nilai inilah sebenarnya yang menjamin kelangsungan dakwah, kekuatan umat dan menggerunkan musuh-musuh Islam. Kita juga dapat menyaksikan setinggi-tinggi nilai ukhuwwah dalam peristiwa hijrah ini,iaitu Al-Ithar (mengutamakan orang lain) menerusi tauladan yang ditunjukkan Kaum Ansar walaupun mereka baru sahaja bertemu dengan golongan Muhajirin.

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”

(AlHasyr : 9)

4) Ikatan Rabbaniyah. Satu elemen yang sering dilupakan oleh kebanyakan orang ramai, setelah berusaha, ialah nilai tawakal. Mudah disebut, namun, hakikat pelaksanaannya sungguh sukar. Tawakal memerlukan hubungan yang erat dengan Allah. Sentiasa merasai kewujudan-Nya walau dimana jua kita berada. Lihatlah bagaimana Rasulullah menenangkan sahabat karib beliau, Saidina Abu Bakar ketika bersembunyi  didalam Gua Thur, sedang musuh-musuh Islam sudah hampir menemui mereka. Peristiwa ini diungkapkan didalam Al-quran dan menjadi saksi bahawa Allah senantiasa berada di hati junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.”

( Attaubah : 40)

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Melihat situasi terkini di Malaysia, sememangnya, masyarakat kini berhadpaan dengan satu suasana yang sangat membimbangkan. Pelbagai ancaman dicatur secara teliti oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya tidak mahu melihat Islam tertegak diatas muka bumi. Mereka berusaha sehabis mungkin untuk menjauhkan keperibadian muslim dalam sosok peribadi orang islam, mereka ingin melemahkan pemahaman Islam di kalangan penganut agama Islam. Mereka tidak akan pernah rela akan tertegaknya tamadun Islam! Serangan-serangan arus pemikiran dan ideology yang merosak,  hiburan-hiburan melampau, keinginan-keinginan peribadi yang hanya mengikut hawa nafsu, perpecahan umat dan bangsa, semuanya telah diatur dengan perancangan yang sangat rapi dan akhirnya kini, ia kian meresap sebati dalam masyarakat kita. Mereka seolah-olah sedang menonton plot-plot cerita yang sedang berjalan seperti yang dirancangkan.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”

(Al Baqarah : 120)

Oleh sebab itu, saudara saudari sekalian.

Keperibadian dan keutuhan jatidiri merupakan aspek yang penting dalam mengharungi cabaran dan kepincangan yang sedang melanda kita hari ini. Kita perlu hayati dengan sepenuh jiwa dan raga,segala intipati dan manfaat daripada peristiwa hijrah, yang sekurang-kurangnya mampu melindung kita daripada tersimpang jauh tersasar dari landasan kebenaran. Perkuatkan kefahaman aqidah dan agama kita, jauhi perkara-perkara yang menjadi perselisihan antara kita. Disinilah akan teruji nilai ukhuwwah sesama umat Islam.  Terlalu banyak tugas kita dalam memberikan kesedaran untuk mengembalikan masyarakat ke landasan yang lurus. Kita tidak mempunyai banyak masa. Lakukan perubahan bermula dengan diri sendiri. Latihlah diri untuk melazimi segala tuntutan-tuntutan Allah dan Rasulnya. Hanya nilai taqwa yang akan membezakan neraca pandangan Allah terhadap hambanya.Cukuplah Allah bagi kita sebagai teman dalam perjuangan membangunkan umat ini.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.

(Ali-Imran,110)

Akhir kata, bersempena dengan Maal Hijrah yang penuh keberkatan ini, saya menyeru kepada diri saya dan seluruh mahasiswa dan mahasiswi khususnya di bumi bertuah Jordan ini, untuk sama-sama kita membenarkan lafaz syahadah kita selari dengan tindak-tanduk kehidupan seharian kita. Jadikan peristiwa hijrah, satu momentum yang akan melonjakkan perubahan kita kepada satu tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Sentiasalah kita bermuhasabah dan mempersiapkan diri dengan segala persiapan ilmu dan kemahiran kerana masa depan umat Islam terletak ditangan kita.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”

(Ar-Ra’ad : 11)

Dengan ini, saya mewakili seluruh jawatankuasa ISMA Jordan dan ahli-ahli mengucapkan selamat tahun baru Hijrah 1433. Semoga lembaran baru ini akan terus memberikan kita kekuatan untuk melaksanakkan tugas kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini dengan lebih cemerlang.

MEMBANGUN UMAT BERAGENDA

MELAYU SEPAKAT , ISLAM BERDAULAT


Muhammad Hashemi Dahalan Md Razip
Pengerusi
Ikatan Muslimin Malaysia Jordan


1 Muharam 1433 bersamaan 26 November 2011

scroll to top