Risalah dan ijazah; mana satu pilihan hati?
March 1, 2012 by fauwizafauzi
Filed under Akademik, ISMA Jordan
“Telah sekian lama kita menghabiskan waktu dengan hanya sebagai tukang pidato dan ahli bicara, sementara zaman telah menuntut kita untuk segera mempersembahkan bahkan amal-amal nyata yang profesional dan produktif. ”
Pesan Hassan al-Banna.
Keparahan dan kebobrokan masyarakat pada hari ini menuntut para da’ie bekerja lebih masa. Bijak, intelek dan kuasa akal masyarakat muasir menuntut teknik penyampaian dakwah tidak lagi semudah dahulu. Tidak cukup untuk kita katakan “Solatlah jemaah, ikhwanku.” kerana pada hari ini sukar mencari Abu Bakar yang pertama membenarkan nur Islam. Barangkali mungkin ada satu dalam sejuta.
Tapi masyarakat yang bijak ini, tidak hanya menurut kata-kata lidah sahaja, tetapi mahukan gerak badan yang menzahirkan kata itu. Benar, kita masih perlu menjadi tukang pidato dewasa ini, tetapi zaman ini juga perlukan gerak dan amal.
Sering bertanya sahabat-sahabat kepada saya,
Adakah banyak kerja dakwah itu ? Punya masakah jika 24jam kita terpaksa dibahagikan dengan kerja dakwah dan belajar kerana katanya, sering kali melihat orang-orang yang bergiat dalam dakwah, paginya lesu di dalam kelas.
Jadi sisi manakah ingin kita nampakkan indahnya tarbiah itu, cantiknya dakwah itu, jika yang belum kenal ini sudah meletakkan tanda tanya sebegitu.
Ayuhlah kita. Betulkan keadaan ini !
Walau tidak sehebat Sulaiman menguruskan urusan mentadbir dunia, namun sebagai insan yang faham dan mengerti muwasafat tarbiah, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita menyeimbangkan dakwah dan akademik. Kerana, pada dasarnya, pengajian dan proses pembelajaran ini merupakan jambatan yang membawa kita kepada skop dakwah dan tarbiah yang lebih besar.
Mungkin kadang-kadang kita merasakan hanya kita yang ada untuk melakukan kerja dakwah ini, biarlah mereka lena dan leka dengan buku-buku dan nota-nota mereka, tetapi ada hakikat yang perlu kita pegang, bahawa dalam lima ke sepuluh tahun akan datang, kita mungkin melihat mereka yang pada hari ini memegang buku dan nota itu, menjadi ahli dakwah yang mampu melebarkan sayap tarbiah dengan lebih luas kerana ilmu dan pengiktirafan pendidikannya menjadikan masyarakat menerima tarbiahnya dengan lebih yakin.
Teringat kata-kata seorang ahli dakwah apabila memberi komen kepada prestasi akademik ikhwah akhawat,
“Saya hairan kenapa kurang ikhwah dan akhawat dalam senarai penerima anugerah cemerlang. Bukan kita mengejar penghormatan dan penghargaan manusia, tetapi sepatutnya, mereka yang faham jalan dakwah ini lebih terkehadapan.”
Maka, kita sudah tidak boleh memberi alasan terhadap segala kelemahan dan kebejatan kita dalam akademik, pelajaran dan pengajian kerana kita tidak mampu menafikan jalan ini menyediakan terlalu banyak cara untuk terus melangkah dalam bidang tarbiah, pendidikan, ekonomi dan juga politik.
Kita sebenarnya memerlukan ikhwah dan akhawat yang pada suatu masa nanti dapat memimpin saf kepimpinan negara, membetulkan sistem politik, ekonomi, pendidikan supaya apa yang kita impi-impikan pada hari ini mampu menjadi sinar terang untuk kemenangan yang telah lama sirna.
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (As-Saff:2)
Oleh:
Siti Zafirah Mat Nawi
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology












Peringatan yang amat tepat pada masa nya. Kita perlukan dai’e yang menguasai jurusan kemahirannya, bukan bukan sekadar lulus cukup makan. Jangan memfitnah dakwah dan tarbiah dengan kelalaian kita. Sampai bila kemahiran sains dan teknologi berada di tangan orang kafir.